Total Pageviews

Friday, 8 April 2011

Teknik ceramah

Persiapan Ceramah / Kuliah / dan sejenisnya.
a) Ikhlaskan niat kerana Allah untuk dakwah,memberi kefahaman kepada mad’u dalam menyampaikan ilmu – jangan sesekali menjadikan penyampaian ilmu sebagai alat mencari duit. Bukan bermakna, kita menolak ‘saguhati’ pihak masjid atau penganjur. Penganjur juga perlu memahami keperluan penceramah yang datang dari jauh, kenderaannya, pengorbanan dan kesanggupannya, pekerjaannya dan sebagainya. Maka, rasionallah dalam menyampaikan saguhati.
Peringatan ! Saguhati (duit biasanya) bukan bayaran kepada ilmu tersebut, tetapi penghargaan kepada kesanggupan dan perkara-perkara yang saya sebutkan diatas tadi. Ilmu tidak boleh dibayar dan tidak mampu untuk dinilai. Tidak mungkin ilmu yang boleh menyelamatkan manusia sampai hari Qiamat mampu dibayar dengan wang RM30 – RM50.
b) Kenali mad’u – bercakaplah sesuai dengan tahap pemikiran mad’u samada mereka orang tua, kanak-kanak, kaum lelaki atau perempuan, golongan intelek atau penduduk kampung sebagaimana yang ditegaskan oleh Nabi s.a.w : Berbicaralah sesuai dengan kadar tahap pemikiran mereka.
c) Bahan pengisian yang baik – jangan datang ke kuliah seperti seorang pakar pidato dengan hanya sehelai kertas yang dicatat acuh tak acuh ! bawalah buku atau kitab utama yang akan digunakan atau setidak-tidaknya, catatkan apa yang ingin disampaik secara tersusun lebih awal di rumah beberapa jam atau lebih lama lagi.
Cadangan: Cuba sampaikan ceramah dengan memberikan contoh-contoh semasa seperti isu semasa yang sedang hangat diperkatakan agar pendengar tidak terlalu boring kerana penceramah terlalu terikat dengan kitabnya sahaja. Contoh-contoh adalah ‘kredit’ yang bernilai untuk memberi penjelasan kepada mad’u.
d) Penampilan – Pakailah pakaian yang menyenangkan mad’u anda. ( Tidak semestinya berjubah). Tetapi sudut kekemasan, kebersihan dan kerapian khasnya didalam majlis-majlis yang ramai kerana pendengar bukan sahaja mendengar, tetapi melihat anda dari kepala sampai ke kaki (kalau boleh, tapak kaki pun nak tengok juga..:) Perlu wangi-wangian, silakan.


Teknik Menyampaikan Ceramah / Kuliah / dan sejenisnya.
a) Bacalah apa sahaja doa atau ayat-ayat yang boleh menenangkan anda agar tidak gementar – Rabbisyrahli (doa Nabi Musa bertemu Fir’aun) dan sumpamanya.
b) Duduk dengan posisi yang baik, stabil dan selesa – bagi mengelakkan anda bergerak-gerak membetulkan posisi ketika ceramah. Ini kerana, pergerakan anda kadangkala mengganggu pengisian anda bahkan bisa hilang konsentrasi.
c) Jika anda sedikit kekeringan leher, minum dulu air yang ada dihadapan atau yang disediakan penganjur – Elakkan minum ketika sedang rancak menyampaikan kuliah khasnya dihadapan orang tua.
d) Jika ada sesuatu yang menghalang wajah anda seperti botol air atau bunga yang terlajak tinggi dihias, alihkan sahaja kerana bukan sahaja anda yang tidak enak, pendengar anda lagilah pula.
e) Mulakan penyampaian dengan muqaddimah yang baik – anda boleh meniru (untuk kali pertama) mana-mana muqaddimah para penceramah yang anda minati termasuk gayanya, nadanya, isi dan huraiannya atau penutupnya.
Makluman: Bagi yang suka memulakan ceramah dengan membaca Ayat Al-Qur’an, sangat baik. Tetapi, bacalah ayat Qur’an atau hadis yang berkaitan dengan isi ceramah atau program, tersebut.
Jika waktu terlalu singkat, pendekkan muqaddimah anda – cukup dengan salam, puji dan syukur pada Allah, teruskan pengisian.
f) Nada penyampaian mestilah ada tinggi dan rendah sesuai dengan isi-isi yang disampaikan- jika sampai tetap masalah jihad, maka bersemangatlah. Jika menceritakan masalah umat Islam yang ditindas, nampakkanlah anda benar-benar serius dan simpati sehingga mampu memberi kesan pada mad’u. Namun, jangan lantang tidak tentu tempat kerana akan menyakitkan telinga pendengar.
g) Memek muka anda juga adalah perkara yang perlu diberi perhatian – jika kali pertama mad’u memandang anda dengan tidak seronok, maka pengisian anda mungkin gagal dihayati mereka. Maka, awwalan, senyumlah dahulu. Selepas itu, jika ada bab yang perlu serius, seriuslah.


Perhatian Penting
a) Waktu – tolong tepati waktu yang dijanjikan. Jangan sampai penganjur terpaksa menunggu anda terlalu lama sehingga sampai satu tahap ahli jama’ah masjid beransur pulang kerana boring tunggu anda yang tidak sampai-sampai. Maklumkan segera jika anda terpaksa sampai lewat sebab memudahkan penganjur untuk isi dengan perkara lain dulu.
b) Janji – jangan sesekali anda khianati janji sebagai penceramah. Contohnya: Akhir-akhir waktu anda memaklumkan kepada penganjur anda dijemput ke masjid lain semata-mata kerana anda dijemput ke masjid yang lebih ‘best’ dan ramai pendengar serta imbuhan yang mungkin lebih bagus. Perbuatan ini akan mengkaramkan dakwah anda. Anda sanggup meninggalkan ‘pendengar setia’ anda kerana jemputan yang dikira lebih bagus menanti, sedangkan mereka yang pertama menjemput anda. Ketika itu, anda tidak akan dihormati lagi.
Makluman: Kecuali anda benar-benar bertembung dengan program tarbiah yang memerlukan anda. Program tarbiah tidak ramai yang dapat bantu dan tidak menjanjikan apa-apa imbuhan, sedangkan kuliah ramai tenaga. Namun, pastikan anda memaklumkan secepat mungkin jika tidak dapat hadir atau lebih baik, anda dapat mencari penggganti untuk kuliah tersebut.
c) Gunakan bahasa yang baik ketika ceramah khasnya dihadapan orang-orang tua.- jangan melawak macam berada dihadapan budak-budak.


Latihan Ceramah
a) Berlatihlah secara berseorangan – duduk dalam bilik sorang-sorang dan berceramah kuat-kuat atau paling bagus berdiri dihadapan cermin kerana anda boleh melihat sendiri memek muka anda dan gaya anda.
b) Atas kenderaan – AWAS! Jika menaiki motosikal atau memandu, jangan buat gaya, cukup dengam suara sahaja, dibimbangi anda akan melepaskan kedua-dua tangan anda diatas motosikal atau kereta.
c) Dihadapan teman-teman yang berbakat – minta mereka dengar dan komen anda. Jangan malu pada teman-teman itu kerana selepas ini mungkin anda terpaksa berdiri dihadapan ‘anak sultan’ pula.
d) Cari kaset atau VCD – dengarlah ceramah mana-mana pemidato yang hebat yang anda minati. Contoh : Tn Guru Hj Hadi, Anwar, Mustafa Kamil Ayub, Ezam, Tn Ibrahim Tn Man, Ust Riduan Moh Nor atau sesiapa sahaja yang anda rasa best. Tiru gaya mereka untuk permulaan.


Kongsi Pengalaman:


Saya pernah sampaikan kuliah pagi Jumaat di Machang. Lepas itu tuan Imam mint abaca khutbah Jumaat. Saya tolak kerana memang betul-betul tiada persedian, ditambah lagi dengan khutbah yang tidak guna teks. Hari itu saya dapat ilmu baru. Ilmu apa?


Bagaimana mahu pandang mad’u ketika ceramah?


Bak kata Imam ini pada saya, “bayangkan anta ceramah, anta yang pandang orang ramai, tetapi waktu khutbah, ribuan mata makmum tengok anta. Anta mampu tak?” Betul juga ya. Inilah antara perkara yang menyebabkan ramai yang takut bila dijemput berdiri dihadapan sampaikan ceramah.


Tips dari Tuan Imam:
a) Jangan pandang muka pendengar/ makmum yang serius atau tidak menyenangkan anda. Mungkin bengis, muka mengantuk dan lain-lain.
b) Pandanglah muka-muka yang anda tenang melihatnya. Mungkin yang suka senyum, bersih dan tidak serabutkan anda.


Setelah saya praktikkan, rupa-rupanya betul sangat-sangat. Wajah mad’u mampu ‘menggagalkan’ ceramah anda dan mampu memberikan suntikan semangat pada anda. ( Jadi, kalau anda mahu gagalkan ceramah mana-mana ‘orang jahat’, maka duduklah tempat paling depan khasnya depan meja dia dan pandanglah muka dia dengan muka yang paling serius..:)


Cabaran Da’ie
a) Kita bimbang tidak dapat berama dengan ucapan kita. Maka tidak ramai yang mahu berdakwah melalui wasilah lisan. Semuanya benar-benar takut akan peringatan Allah dalam surah As-Shoff kepada orang yang bercakap, tetapi tidak beramal. Baguslah..Namun perlu diingat, ancaman ini bukan bererti Allah melarang anda berceramah, tetapi ianya adalah berupa peringatan agar berhati-hati.
b) Masalah ini tidak ada ubat melainkan daie memang perlu siap untuk merubah diri kepada yang baik.
c) Bahkan, Nabi s.a.w sendiri memberikan pula ‘motivasi’ dengan Hadis: Barangsiapa yang menunjukkan kepada satu kebaikan, maka baginya pahala sebagaimana pahala orang yang melakukan kebaikan tersebut (Mafhum Hadis).
d) Bahkan, sering kita dengar kata-kata ‘Islah nafsaka wad’u ghairak’ – perbaiki diri kamu dan serulah orang lain. Kalimah ‘dan’ disini membawa maksud ‘ dalam masa yang sama’. Maka perbaiki dirimu dan (dalam masa yang sama) seru orang lain. Bukan bermaksud tunggu kamu jadi baik dulu sampai sempurna, barulah kamu berdakwah. Agak-agak bila nak sempurna?