Total Pageviews

Showing posts with label abu sunni luv Islam. Show all posts
Showing posts with label abu sunni luv Islam. Show all posts

Wednesday, 4 May 2011

Shekh Yusuf Estes (ulamak USA)


Alhamdulillah, ketika saya membuat search untuk mendapatkan data pengukuhan tentang satu topik kajian yang sedang ligat bermain di kepala saya, saya bertemu dengan maklumat tentang Yusuf Estes di ruangan forum laman http://al-ahkam.net/. Salah satu mesej pembaca bernama Kadeeja Yasmin tentang Yusuf Estes sepertimana berikut sesungguhnya telah menarik perhatian dan sekaligus menggugah jiwarasa saya:

The first time I sat in front of this man listening he’s preaching a sermon, I fell in love with Islam more than I ever did. The serenity pervades the atmosphere in that hall.. It was awesome!

Maklumat lanjut tentang usaha dakwah dan kerja-kerja Islam yang tengah diikhtiarkan oleh Yusuf Estes dan rakan seperjuangannya, sila ke laman http://www.islamtomorrow.com/ dan http://www.islamtomorrow.com/converts/.

Buat tetamu ziarah yang budiman sekalian, berikut dikongsikan satu rencana dari ruangan Bicara Agama, Utusan Malaysia susunan Zunaidah Zainon. Bacalah dengan mata hati. Semoga semangat keIslaman kita semakin membara. Amiin.

Yusuf Estes terima hidayah dalam satu malam

HIDAYAH datang tanpa disangka. Walau sehebat mana sekalipun menangkis, namun atas kehendak Allah SWT, maka kita akan menerimanya dengan hati yang reda. Begitulah yang melanda kehidupan seorang paderi kelahiran Amerika Syarikat (AS), Yusuf Estes hingga beliau menerima Islam sebagai pengabadian hidup.

“Ramai orang bertanya kepada saya, bagaimana pengkhutbah atau paderi boleh memeluk Islam terutamanya setelah mengetahui semua perkara negatif mengenai Islam hampir setiap hari. Bagaimanapun, saya menyifatkan pengislaman ini sebagai perkara yang cukup berharga setelah menerima hidayah Allah SWT,” ujarnya yang merupakan paderi tentera di Penjara Awam AS.

Yusuf Estes dilahirkan dalam sebuah keluarga yang kuat pegangan Kristian di Midwest. Keluarganya bukan sahaja membina gereja dan sekolah tetapi merupakan orang pertama yang meneroka kawasan tersebut. Beliau masih berada di sekolah rendah semasa ditempatkan di Houston, Texas pada 1949.

“Saya selalu mengikut keluarga ke gereja dan dibaptiskan pada usia 12 tahun di Pasadena, Texas. Sebagai remaja, minat untuk mengunjungi gereja-gereja lain dan mendalami ajaran dan kepercayaan Kristian semakin bercambah.

“Pada masa yang sama, saya turut berminat mengkaji agama lain termasuklah Hindu, Yahudi, Buddha, Metafizik dan kepercayaan asal orang Amerika. Tetapi entah kenapa, saya tidak mengkaji Islam secara serius berbanding agama-agama tersebut,” ceritanya mengimbas kenangan yang membawanya mengenali agama Islam.

Membesar dalam sebuah keluarga yang berpegang kuat pada agama, sedikit sebanyak membuatkan Yusuf cenderung kepada genre muzik Gospel dan klasik. Akhirnya, beliau memilih untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang yang berkaitan dengan muzik dan agama.

Bakatnya itu membawa beliau dilantik sebagai paderi muzik di beberapa buah gereja dan kemudiannya mula mengajar keyboard pada 1960. Beliau berjaya memiliki studionya sendiri pada 1963 dengan nama Studio Muzik Estes di Laurel, Maryland.

Selama 30 tahun, beliau dan ayahnya bergandingan menguruskan projek perniagaan yang berasaskan hiburan dan persembahan. Beliau turut membuka stor piano dan organ dari Texas dan Oklahoma hingga ke Florida. Akui Yusuf, bisnesnya amat menguntungkan tetapi beliau tidak menemui ketenangan jiwa.

Namun pada 1991 ketika berumur 54 tahun, beliau menemui bahawa kepercayaan mengenai agama Islam terkandung di dalam kitab Injil. Baginya, ini adalah sesuatu yang melampau dan di luar dugaan terutama apabila beliau mendapati pembawa kitab Injil yang digunakan untuk mengembara seluruh dunia terlalu membenci Islam.

Menurut Yusuf, ayahnya bergiat aktif dengan menyokong aktiviti gereja terutama program sekolah di gereja dan ditahbiskan sebagai paderi pada 1970. Kemudian ayah dan ibu tirinya mengenali banyak paderi dan mengunjungi Oral Roberts dan membantu dalam pembinaan Prayer Tower di Tulsa. Mereka juga adalah penyokong kuat Jimmy Swaggart, Jim dan Tammy Fae Bakker, Jerry Fallwell, John Haggi termasuklah musuh ketat bagi orang Islam, Pat Robertson.

“Mereka turut menerbitkan kaset puji-pujian dan mengedarkannya secara percuma ke beberapa rumah warga tua dan hospital. Pada 1991 juga, beliau memulakan bisnes dengan seorang lelaki yang berasal dari Mesir. Ayah mahu saya berjumpa dengannya.

“Dalam kepala, saya terbayangkan tentang piramid, Sungai Nil dan segala keindahan yang terdapat di Mesir. Tetapi, setelah ayah memberitahu saya bahawa lelaki ini adalah Islam, hati saya tersentak. Bagaimana ayah boleh mempercayai individu yang menganut agama yang menyuruh umatnya menjadi pengganas dan pengebom berani mati? Saya tidak mahu berjumpa dengan lelaki ini hanya kerana dia adalah Muslim!” kata Yusuf.

Bagaimanapun ayahnya tetap memaksa beliau berjumpa dengan lelaki itu yang bernama Mohamed Abel Rehman dengan menyifatkannya seorang lelaki yang baik. Apabila menemuinya, Yusuf amat terkejut kerana penampilan Mohamed jauh meleset daripada sangkaannya.

“Saya selalu mengandaikan bahawa lelaki Islam mestilah berjanggut dan memakai serban di atas kepalanya tetapi penampilannya jauh berbeza. Dia amat ramah dan menghulurkan tangan untuk bersalam. Walaupun begitu, saya berpendapat, dia perlu diselamatkan,” cerita Yusuf mengenai pertemuannya dengan lelaki tersebut.

Kesempatan bertemu dengan Mohamed, Yusuf mengajukan beberapa soalan berkaitan agama dan kepercayaan kepada Tuhan. Mereka kemudiannya berbual panjang dan mendapati Mohamed sangat mesra dan tidak menyampuk semasa Yusuf bercakap. Oleh itu, beliau berpendapat, yang Mohamed akan menjadi penganut Kristian yang baik.

Buat pertama kalinya, beliau bersetuju dengan pandangan ayahnya yang mahu melakukan urusan bisnes dengan lelaki yang berasal dari Mesir itu dan bercadang mengajaknya untuk mengikuti trip perniagaan ke Texas.

Peluang untuk menarik Mohamed kepada agama Kristian terbuka luas apabila Mohamed ingin berpindah keluar daripada rumah yang didudukinya dan bercadang tinggal di masjid buat sementara waktu. Yusuf memohon kebenaran dari ayahnya agar Mohamed tinggal di rumahnya supaya dapat menguruskan perniagaan dengan lancar.

Kesibukan dengan perniagaan tidak menghalang Yusuf menziarah rakan-rakan paderinya yang menetap sekitar Texas termasuklah salah seorang rakannya yang dimasukkan ke hospital kerana diserang sakit jantung. Beliau membawa Mohamed melawat rakannya yang terlantar sakit itu dengan harapan dapat berkongsi pandangan mengenai agama. Tetapi rakannya tidak berminat mengenai Islam.

Bagaimanapun suatu hari, Yusuf didatangi seorang lelaki yang berkerusi roda dan merupakan teman sebilik rakannya. Melihat keadaan dan sikapnya, beliau dapat mengagak bahawa lelaki tersebut dalam kesunyian dan memerlukan seseorang untuk membantunya.

“Saya pergi kepadanya dan berkongsi cerita mengenai kisah Nabi Yunus yang ditelan ikan paus dan tenggelam di laut tetapi tiga hari kemudian, Nabi Yunus timbul semula dan kembali ke bandarnya dengan selamat. Pengajaran daripada kisah di atas ialah setiap masalah ada jalan penyelesaiannya.

“Selepas berkongsi cerita dengannya, lelaki itu memandang saya dan memohon maaf di atas sikapnya yang kurang sopan dan pernah berhadapan dengan masalah serius beberapa tahun lalu. Kemudian dia ingin membuat pengakuan tetapi saya bukan paderi Katolik.

“Saya terperanjat apabila lelaki itu mengaku bahawa dia adalah paderi Katolik yang dikenali sebagai Father Peter Jacob. Saya memanggilnya Pete. Dia kemudiannya berkongsi kisah hidupnya dengan saya semasa menjadi mubaligh Kristian selama 12 tahun ke serata AS dan Mexico.

Apabila dia dibenarkan keluar daripada hospital, saya mengajaknya tinggal bersama kami. Pete turut menceritakan bahawa paderi Katolik turut mendalami Islam dan ada sebahagiannya memiliki Doktor Falsafah dalam bidang berkenaan,” ceritanya panjang lebar.

Sejak Pete tinggal bersama mereka, Yusuf dan keluarganya membincangkan mengenai Kristian sewaktu makan malam sebagai usaha untuk menarik Mohamed kepada agama tersebut. Yusuf juga menyoal Mohamed mengenai jumlah versi al-Quran yang diturunkan sejak 1,400 tahun lalu. Mohamed menyatakan bahawa hanya ada satu sahaja al-Quran dan tidak ada versi yang lain. Malah al-Quran adalah kitab panduan yang diturunkan kepada umat Nabi Muhammad SAW.

Selepas melalui banyak perbincangan mengenai agama, Pete berminat mengikut Mohamed ke masjid semata-mata ingin melihat aktiviti di sana. Mereka pulang awal dan Pete memberitahu Yusuf, tidak ada apa yang istimewa melainkan jemaah mendirikan sembahyang di masjid dan pulang ke rumah setelah selesai. Namun, beberapa hari kemudian, Pete menyatakan hasrat yang serupa.

“Hari sudah larut malam tetapi mereka masih belum balik. Akhirnya setelah lama menunggu saya terdengar ketukan di pintu dan sebaik membukanya, saya terkejut melihat lelaki di sebelah Mohamed yang memakai jubah dan ketayap berwarna putih dan amat mengenalinya. Rupanya lelaki itu ialah Pete! Oh Tuhan, saya memang terkejut bagaimana Pete boleh tertarik kepada Islam,” ujar Yusuf tentang perubahan yang berlaku ke atas Pete.

Yusuf yang tidak berpuas hati mendapatkan isterinya untuk bertanyakan hal tersebut. Tambah mengejutkan apabila isterinya turut tertarik dengan Islam kerana di situ terletak kebenaran yang dicari-carinya sekian lama. Untuk mendapatkan kepastian, beliau mendapatkan Mohamed dan mengajaknya berbincang di luar.

“Kami keluar berjalan dan bercakap sepanjang malam hinggalah tiba waktu bagi Mohamed untuk mendirikan solat Subuh. Ketika itu, saya tahu yang kebenaran sudah tiba akhirnya dan kini adalah masanya untuk saya memainkan peranan.

“Saya pergi ke bahagian belakang rumah dan mendapatkan papan lapis dan bersujud di atasnya seperti orang Islam bersembahyang. Saya kemudiannya berdoa, ‘Ya Tuhanku, sekiranya engkau ada, berikanlah aku panduan.’ Apabila saya mengangkat kepala, hati saya mula terdetik sesuatu. Tiada pari-pari atau burung berterbangan di langit atau bunyi muzik tetapi, saya sedar ada sesuatu telah berubah,” jelasnya. Yusuf kemudiannya naik dan mandi dengan harapan membersihkan diri daripada segala dosa yang membelenggu hidup saya selama ini. Saya seolah-olah memulakan hidup baru yang berpaksikan pada kebenaran Islam.

Tanpa menunggu masa yang lama, pada pukul 11 pagi itu juga, Yusuf melafazkan dua kalimah syahadat dengan bersaksikan Pete dan Mohamed. Malah, isterinya turut mengikut jejak yang sama. Selang beberapa bulan, ayahnya juga memilih untuk memeluk agama Islam. Yusuf tidak dapat membayangkan betapa indahnya, saat-saat mereka mendirikan sembahyang berjemaah di masjid bersama para jemaah yang lain.

Selepas memeluk Islam, beliau mengeluarkan anak-anaknya daripada sekolah Kristian kepada sekolah untuk pelajar beragama Islam. Datuknya adalah orang terakhir dalam keluarga mereka yang melafazkan dua kalimah syahadat.

“Islam terlalu istimewa kerana berupaya menarik paderi seperti saya, Pete dan ayah yang selama ini kuat pada pegangan agama Kristian. Hanya dengan keagungan-Nya, kami diberi panduan untuk melihat kebenaran Islam tanpa membutakan mata dan hati masing-masing. Selepas 10 tahun, anak-anak saya juga sudah boleh menghafaz al-Quran dengan baik.

“Islam telah mengubah cara saya melihat kehidupan ini dengan lebih bermakna,” ujarnya mengenai kehidupannya selepas bergelar Muslim.


Semoga lebih ramai yang mengikuti jejak mulia Yusuf Estes. Semoga lebih ramai umat Islam seperti Mohamed Abel Rehman yang mampu berdakwah dengan penuh hikmah dan sekaligus menjadi asbab hidayah. Bersama tekadkan di hati: “My Life and My Death Only For Islam!”

Wallahu a’la wa’lam.

Tuesday, 3 May 2011

Gelaran Haji dan Hajjah

Sebelum ini juga ramai yang bertanya sama ada boleh digunakan gelaran ‘Haji' kepada mereka yang sudah selesai menunaikan haji.

Saya teringat ada seorang kenalan saya, sekitar 10 tahun dahulu memarahi seorang rakannya kerana tidak memanggilnya dengan gelaran tersebut. Bila saya bertanya mengapa sampai begitu sekali?.

Dijawabnya "Ye la, kita dah bertungkus lumus melaksanakan haji, berbelas ribu ringgit habis, jadi hormatlah sikit kita dengan pengiktirafan" demikian tegasnya secara agak emosi.

Saya yakin, para pembaca mempunyai pelbagai reaksi apabila membaca jawapannya. Majoriti mungkin akan merasa tidak bersetuju sama sekali dengan hujjah yang disebut olehnya. Namun itulah hakikat bagi sebahagian besar umat Islam khususnya di Malaysia, mereka cukup ingin serta merasa selesa dan bangga dengan gelaran ‘Haji' sesudah mereka pulang dari mengerjakan ibadah agung tersebut.

Jadi persoalan kita ketika ini, adakah boleh di sisi Islam?

"ada orang baru balik haji, sibuk ingin digelar haji, kalau tak gelar, dia marah, habis rukun Islam yang lain pun lepas ini kena bagi gelaran jugakah?, jadilah namanya Tuan Haji Umrah Solat Puasa Zakat Ali Bin Abu Bakar" Demikian sindir seorang ustaz sebagai tanda protes tidak setuju disamping ingin membuat buah lawak untuk menghilangkan mengantuk para pendengar ceramahnya.

"Nabi dan sahabatnya tiada yang guna gelaran begitu, ni semuanya mengarut dan bid'ah" tegas seorang ustaz lagi dalam kuliahnya.

Adakah salah untuk menggunakan gelaran Haji di awal nama bagi mereka yang pulang dari menunaikan ibadah besar itu?

Persoalan ini tidak dinafikan lebih kepada sebuah isu kecil, justeru diharap jangan ada sesiapa yang kerananya melakukan dosa menghina, merendah dan menyakiti hati manusia lain. Itu persoalan pookok yang perlu difahami sebelum kita melanjutkan perbincangan.

Menurut pendapat saya, gelaran sebegini bukan sebuah persoalan ibadah khusus yang memerlukan kepada dalil khusus dari amalan Nabi s.a.w, salafussoleh dari kalangan sahabat dan tabien.

Isu gelaran adalah sebuah isu kemasyarakatan dan sosial yang tidak tertakluk kepada dalil-dalil specifik. Ia hanya tertakluk kepada dalil umum yang mengandungi nilai dan asas sama ada untuk mengarah atau melarang.

Dalam hal gelaran, dalil yang menjelaskan prinsip atau displin dalam gelar menggelar boleh diambil dari firman Allah swt seperti yang tercatat di dalam ayat surah al-Hujurat :

وَلَا تَلْمِزُوا أَنفُسَكُمْ وَلَا تَنَابَزُوا بِالْأَلْقَابِ بِئْسَ الاِسْمُ الْفُسُوقُ بَعْدَ الْإِيمَانِ

Ertinya : janganlah kamu mencela dirimu sendiri dan janganlah kamu panggil memanggil dengan gelar-gelar yang buruk. Seburuk-buruk panggilan ialah segala jenis nama panggilan yang berciri kefasiqan selepas kamu beriman ( Al-Hujurat : 11)

Jelas dari ayat di atas, prinsipnya adalah Allah swt melarang untuk umat Islam mengelar saudara seagama dengan apa jua gelaran yang buruk dan menyakitkan hatinya, tidak kira sama ada ia benar atau tidak, selagimana ia dilakukan dengan niat menghina dan menjatuhkan, ia adalah dilarang.

Imam Abu Ja'far At-Tabari mengatakan :

التنابز بالألقاب : هو دعاء المرء صاحبه بما يكرهه من اسم أو صفة ، وعم الله بنهيه ذلك ، ولم يخصص به بعض الألقاب دون بعض ، فغير جائز لأحد من المسلمين أن ينبز أخاه باسم يكرهه ، أو صفة يكرهها

Ertinya : Memanggil dengan gelaran adalah seperti seseorang memanggil saudaranya dengan cara yang dibencinya sama ada (menggunakan) nama tertentu atau sifat. Dan larangan Allah swt itu umum tanpa sebarang pengkhususan kepda satu jenis gelaran tanpa yang lain, maka oleh itu, TIDAK HARUS (haram) bagi seorang Muslim untuk memanggil saudaranya sama ada dengan nama atau sifat yang dibencinya. ( Jami' al-Bayan, 22/29)

Justeru di dalam Islam budaya gelar mengelar dengan gelaran buruk ini bukanlah tindakan yang benar, malah ia terkeji dan hanya menjadi mainan individu yang dipimpin oleh emosi. Jangan sesekali mudah memulakan gelaran seperti 'Ulama Mee Segera', 'Si bodoh', ‘Munafiq' dan lain-lain. Walau apapun sebab dan latar belakang kemarahannya, cara menggelar sebegini bukan caranya. Terdapat begitu banyak cara bahasa lain yang lebih sesuai untuk menegur seseorang.

Ia hanya akan memburukkan keadaan dan seterusnya menjatuhkan maruah si penggelar sahaja bukan mereka yang digelar. Tiada kebaikan yang boleh tersebar darinya kecuali kepuasan peribadi pihak mengggelar kononnya untuk menegakkan yang hak tetapi sebenarnya hanya memuaskan nafsu amarah masing-masing sahaja.

Islam melarang menggelarkan seseorang dengan sebarang gelaran buruk, dilarang juga mengkafirkan seseorang tanpa kejelasan yang putus atau kelak kekafiran dan gelaran itu akan kembali kepada dirinya sendiri. Seluruh gelaran buruk yang dicipta juga akan kembali kepada di penggelar.

Namun demikian, terdapat PENGECUALIAN sekiranya sesuatu gelaran dibuat bagi keadaan tertentu seperti untuk membezakan di antara individu maka digelarkan dengan sifat atau nama yang sesuai bagi fizikalnya, sedangkan gelaran itu adalah buruk, namun panggilan itu dibuat bukan untuk menghina dan merendah, ia hanya diniat untuk memberi kenal kepada mereka yang bertanya. Tatkala itu ia dibenarkan,

Demikian juga, jika terdapat maslahat yang lebih besar untuk dijagai, seperti para ulama menggelarkan beberapa perawi sebagai ‘kazzab' yang ertinya 'banyak berbohong ' bagi menjaga ketulenan sesebuah hadis. Namun ia bukanlah disebarluaskan kepada masyarakat awam, hal sedemikian hanya akan diketahui oleh golongan ulama dari kalangan pengkaji hadis dan perawinya sahaja. Ringkasnya semuanya masih tertakluk kepada adab-adab dan displinnya.

GELARAN BAIK SEPERTI TUAN HAJI?

Gelaran buruk dengan tujuan merendah dan menghina, tanpa khilaf lagi ia dilarang, maka jelas GELARAN BAIK ADALAH dibenarkan dalam Islam selagi tidak bercanggah dengan aqidah seperti menggelar seseorang dengan gelaran yang mengangkatnya ke darjat Tuhan atau Rasul.

Keharusan ini boleh dilihat dalam keharusan menggunakan gelaran Sayyid bagi Nabi Muhammad s.a.w dan juga para sahabat baginda nabi s.a.w.

Penggunaannya kepada selain Nabi s.a.w tidak disepakati oleh para ulama, ada yang menegah kecuali bagi pemimpin kaum iaitu di atas kapasitinya sebagai pemimpin atau ketua kepada kaum tersebut.

Namun demikian, gelaran ‘sayyiduna' yang beerti tuan kami, dibenarkan oleh sebahagian ulama untuk digunakan sama ada untuk baginda Nabi s.a.w dan juga tokoh-tokoh pimpinan yang lain, berdasarkan beberapa dalil (namun tulisan ini tidak akan membincangkan perihal kukuh atau tidaknya dalil yang dipetik). Antaranya Firman Allah :-

فَنَادَتْهُ المَلائِكَةُ وَهُوَ قَائِمٌ يُصَلِّي فِي المِحْرَابِ أَنَّ اللَّهَ يُبَشِّرُكَ بِيَحْيَى مُصَدِّقاً بِكَلِمَةٍ مِّنَ اللَّهِ وَسَيِّداً وَحَصُوراً وَنَبِياًّ مِّنَ الصَّالِحِينَ

Ertinya : Kemudian Malaikat (Jibril) memanggil Zakaria, sedang ia tengah berdiri melakukan salat di mihrab (katanya): ""Sesungguhnya Allah menggembirakan kamu dengan kelahiran (seorang putramu) Yahya, yang membenarkan kalimat (yang datang) dari Allah, menjadi tuan, menahan diri (dari hawa nafsu) dan seorang Nabi termasuk keturunan orang-orang saleh. ( Al-Imran : 39)

Imam al-Qurtubi mengulas katanya :-

ففيه دلالة على جواز تسمية الإنسان سيدًا ، كما يجوز أن يُسمِّى عزيزًا أو كريمًا

Ertinya : Pada ayat itu suatu dalil berkenaan keharusan menamakan seseorang sebagai sayyid (tuan), sebagaimana harus untuk digelar yang mulia (Jami' ahkam al-Quran)

Nabi s.a.w juga pernah bersabda :

ابني هذا سيد ولعل الله أن يصلح به بين فئتين من المسلمين

Ertinya : Sesungguhnya anakku (cucu) ini adalah sayyid (tuan) dan moga-moga melaluinya Allah akan memperdamaikan dua puak dari kalangan muslimin ( Riwayat Al-Bukhari)

Hasil dari petikan dalil di atas, malah banyak lagi dalil lain, MAJORITI ulama membenarkan untuk menggunakan gelaran Sayyidina kepada baginda Nabi s.a.w dan SEBAHAGIAN ULAMA PULA juga mengizinkannya untuk digunapakai kepada mereka selain Nabi s.a.w. Dengan syarat asalkan kita mengetahui batasan penghormatan, sebagaimana yang dituntut oleh Nabi SENDIRI.

أن ناسا قالوا: يا رسول الله، يا خيرنا وابن خيرنا، وسيدنا وابن سيدنا. فقال: يا أيها الناس، قولوا بقولكم، ولا يستهوينكم الشيطان، أنا محمد عبد الله ورسوله، ما أحب أن ترفعوني فوق منزلتي التي أنزلني الله عز وجل

Ertinya : Orang ramai berkata : wahai Rasulullah, wahai yang terpilih dan anak yang terpilih, tuan kami dan anak kepada tuan. Baginda membalas : Wahai manusia, kamu berkata dengan perkataan kamu, namun jangan sampai kamu diselewengkan oleh Syaitan, aku adalah Muhammad, Hamba Allah dan RasulNya, tiadalah aku sukai kamu mengangkat darjatku melebihi daripada darjat yang diberikan oleh Allah kepadaku ( Riwayat Abu Daud: sanad yang baik)

Jika gelaran ‘Sayyiduna' yang kontroversi di kalangan ulama Islam itu pun masih diharuskan menurut sebahagian ulama, sebahagian lain mengatakannya sebagai makruh kerana hadis di atas. Kita memahami gelaran sedemikian memerlukan sedikit hati-hati agar tidak melampau sehingga terjebak dalam kes pengikut Kristian yang mengganggap Nabi Isa sebagai anak tuhan akibat berlebhan dalam menggagungkannya.

Maka tentunya tiada sebarang halangan di dalam Islam untuk gelaran-gelaran biasa yang kurang kontroversi seperti gelaran Tuan haji, Ustaz, Dr, Dato', Syeikh, Profesor, Tok Guru, Imam, Hujjatul Islam, Syeikhul Islam dan apa jua gelaran yang baik lagi disukai dan baik untuk digunakan sebagai penghargaan, pujian, doa dan pengiktirafan.

Isu sama ada gelaran itu akan mendatangkan rasa riyak, takbur dan ujub adalah persoalan kedua. Hal ini mempunyai sedikit persamaan dengan isu memuji seseorang di hadapannya. BOLEH DIBACA DI SINI .

Kesimpulannya, jika diketahui pujian itu akan memusnahkannya, maka janganlah dilakukannya. Maka larangan adalah disebabkan hal luaran yang mendatang dan bukannya pada pujian itu sendiri. Demikian juga gelaran Tuan Haji, Sayyid dan sepertinya.

Oleh itu, jika kita memanggil seseorang dengan gelaran Tuan Haji, dan ia menyukakan tuan tubuh, malah dapat mengingatkannya dengan ibadah agung yang pernah dia bertungkus lumus melakukannya, mengingatkannya kepada Allah swt dan baitullah al-haram serta boleh mengekalkan momentum keinsafannya. Maka sudah tentu ia tidak dilarang di dalam Islam malah digalakkan.

ADAT DAN HORMAT

Apatah lagi apabila ia sudah menjadi adat di sesebuah kawasan untuk menggunakan nama panggilan yang baik tersebut.

Adakalanya, gelaran ‘Haji' juga digunakan hanya kerana tiada gelaran lain yang sesuai untuk seseorang untuk menunjukkan hormat kita kepadanya.

Saya pernah mempunyai beberapa kenalan jutawan veteran yang amat rapat dengan saya, walaupun mereka adalah jutawan, hartawan, pengasas dan ketua kepada syarikat masing-masing, namun mereka belum menerima anugerah Dato', mereka juga bukan pemegang PhD.

Justeru gelaran apakah yang paling sesuai untuk memanggilnya disamping menunjukkan penghormatan kita kepada umurnya ?

Tatkala itu saya hilang idea, hanya gelaran ‘Tuan Haji' saya kira paling sesuai setiap kali berhuung dengan beliau. Gelaran pak cik tidak sesuai, gelaran syeikh kurang sesuai orang perwatakan sepertinya, abang juga tidak sesuai, akhi juga tidak sesuai, awak juga tidak, enta pun tidak sesuai. Pernahkah anda mengalami situasi seperti itu?

Kita sedar, kesan buruk juga boleh berganda apabila seorang yang digelar ‘tuan haji' dan ‘puan hajah' melakukan maksiat dan dosa secara terangan. Lebih mendukacitakan apabila kesnya melibatkan tangkapan khalwat, zina, pecah amanah dan lain-lain yang biasnaya tersiar di dada akhbar. Namun demikian hal itu tidak menjadikan penggunaan gelaran ‘Haji' dan Hajah' sebagai haram.

AKHIRNYA

Walaupun harus mendapat atau menggunakan gelaran ‘Haji', amat perlu disedari pemergian menunaikan rukun Islam kelima itu bukanlah kerana gelaran dan tidak wajar menjadi marah jika tidak diberikan oleh manusia. Bukankah pandangan Allah yang menjadi sasaran ke sana.

Kemarahan seseorang akibat tidak digelar Haji sesudah pulangnya, boleh menjadi satu indikasi negatif kepada status Haji si polan sama ada ia tergolong di dalam Haji yang Mabrur atau tidak. Pastinya mereka yang mensasarkan haji mabrur tidak akan berasa apa-apa dengan gelaran tersebut, malah tidak ambil pusing dan endah diberikan kepadanya atau tidak. Maka itulah yang terbaik..moga kita semua memperolehi Haji Mabrur..Semua gelaran tidak memberi manfaat kepada alam akhirat kita, semua akan ditinggalkan di dunia yang fana ini, yang kekal dan mengikuti kita adalah kecantikan amal itu, bukan gelarannya.

Allahu akbar Allahu akbar Allahu akbar walillahil Hamd

Sekian

Disebalik misteri KAABAH




Zaman Nabi Muhammad s.a.w., di dalam Kaabah ada terdapat enam tiang yang dibina oleh Kaum Quraisy, tiang itu diguna untuk menyokong bumbungnya. Dua tiang sebelah kiri, satu tiang di sebelah kanan dan tiga tiang di sebelah belakang. Tiang-tiang itu adalah tiang kayu.

Selepas pembinaan yang dilakukan Sultan Murad, cuma terdapat tiga batang tiang kayu. Tiang-tiang itu terletak di bahagian tengah Kaabah, setiap satu batang bergaris pusat lebih kurang 1.5 meter. Berwarna merah kekuningan. Satu daripada tiang itu berbentuk bulat dan dua lagi berbentuk empat persegi.

Sekitar tahun 1304 Hijrah (tahun 1884) tiang-tiang dalam Kaabah itu menjadi reput, dalam tahun 1314 Hijrah (tahun 1894) ia telah diperkuatkan dengan dibuat lengkungan kayu seperti bola di bahagian bawah setiap tiang itu yang terletak lebih kurang 1.5 meter dari lantai Kaabah.

Antara tiga tiang dalam Kaabah itu jarak di antara satu sama lain ialah 2.35 meter.

Terdapat sebuah tangga kayu yang dibina di dalam Kaabah untuk menuju ke bumbung Kaabah. Di tangga itu telah dipasang dengan tirai kain sutera hitam yang dihiasi emas dan perak.

Lantai dalam Kaabah dipasang marmah putih dan marmar merah. Dinding Kaabah juga dipasang marmar berwarna dan dihiasi dengan tulisan khat.

Dalam Kaabah juga terdapat tirai sutera merah putih yang tertulis kalimah syahadah. Terdapat banyak lagi perkataan yang ditulis, tirai itu digunakan untuk menutup bahagian dalam bumbung Kaabah dan empat penjuru bahagian dalam dinding Kaabah.

Oleh kerana tirai itu dibuat semasa pemerintahan Sultan Abdul Aziz Khan iaitu dalam tahun 1209 H (tahun 1789) maka dalam usia yang terlalu lama itu, warnanya menjadi seperti hijau dan kelabu.

Ada pelbagai jenis lampu berwarna-warni yang diletakkan di antara tiga tiang Kaabah. Lampu-lampu itu adalah hadiah-hadiah yang diberikan orang untuk Kaabah semenjak berkurun-kurun lagi.

Terdapat sepasang kayu papan yang diletakkan pada dinding Kaabah, kayu itu berasal dari bahtera Nabi Noh. Terdapat sekeping marmar merah empat segi di sebelah sudut utara dalam Kaabah. Antara barangan lain yang terdapat dalam Kaabah ialah barang tinggalan sejarah yang diletakkan di penjuru Iraqi, antara barangan itu termasuklah sepasang subang dipercayai kepunyaan Siti Maryam dan satu tanduk kibas.

Menurut kata Dr Muzammil Siddiqi[1] yang berpeluang masuk ke dalam Kaabah pada tahun 1998;

Di dalam Kaabah ada: 3 tiang, antara tiga tiang dalam Kaabah itu jarak di antara satu sama lain ialah 2.35 meter. Terdapat sebuah meja di tepi untuk letak benda seperti minyak wangi; ada 2 lampu seperti pelita tergantung dari siling; ruangnya boleh memuatkan lebih kurang 50 orang, tiada lampu elektrik iaitu tidak ada system pencahayaan elektrik, dinding dan lantainya daripada marmar kecuali ada sebuah bahagian yang dinamai “Rukhamat Humra”, tiada tingkap, satu pintu, dinding sebelah atas diliputi kain yang ada

kalimah di atasnya. Bahagian atas dinding ditutup dengan kain warna hijau dihiasi dengan tulisan ayat al-Quran dengan tinta emas.


Perigi Harta Dalam Kaabah

Mengikut kajian dari Muhammad al-Azraqi, ada terdapat sebuah perigi tersangat dalam di dalam Kaabah yang digali oleh Nabi Ibrahim a.s. dan Nabi Ismail a.s. Perigi itu terletak di sebelah kanan Kaabah. Di dalam perigi itu telah dimasukkan emas, perak dan permata yang dihadiahkan orang kepada Kaabah dalam jumlah yang agak banyak. Perigi tersebut kini berada di bawah lantai marmar bahagian dalam Kaabah.

(Dipetik dari buku Membongkar Rahsia Kaabah, karya Azizan Ahmad. Pernah bekerja sebagai “Book Adviser” di TIMES and LIFE, sebuah penerbitan antarabangsa Amerika yang terkemuka dan di Strait’s Times Press. Penulis boleh dihubungi melalui e-mail: misai85@yahoo.com)

[1] Beliau adalah bekas presiden Islamic Society of North America (ISNA) dan merupakan sahabat penulis buku ini. Sekarang menjadi ahli majlis shura ISNA dan majlis fiqh Amerika Utara.